Sunday, April 17, 2011

Tugasan ketiga

Pada pandangan saya, subjek Pengantar Penulisan ini adalah subjek yang menarik dan patut dijadikan subjek teras kepada para pelajar. Pada mulanya, saya dan rakan-rakan menganggap subjek ini sesuatu yang mudah kerana ia adalah subjek mengenai Bahasa Melayu, tetapi sangkaan kami meleset dan tidak semudah yang disangkakan. Melalui subjek ini, saya dapat mempelajari dengan lebih mendalam tentang Bahasa Melayu dari segi tatabahasa, nahu, penggunaan ayat dan kesilapan yang biasa dilakukan dalam penulisan dan pertuturan. Malah, kelas ini yang diajar oleh pensyarah Encik Nasrol Hadi Bin Ahmad Shukeri, tidak bosan dan terlalu serius semasa sesi pembelajaran yang mana dapat mengelakkan mengantuk kerana kelas ini dijalankan pada sesi petang. Tambahan lagi, semasa sesi pembelajaran dan pengajaran, Encik Nasrol Hadi seorang pensyarah yang mudah mesra dan tidak terlalu bertegas dengan para pelajarnya. Tugasan-tugasan yang diberikan pula banyak membantu saya untuk mempelajari subjek ini dengan lebih mudah, malah dapat membantu saya untuk menghadapi ujian akhir nanti. 

Keseluruhannya, subjek Pengantar Penulisan bukan sekadar subjek picisan. Subjek ini dapat membantu pelajar Melayu untuk memantapkan lagi pemahaman mereka mengenai bahasa ibunda sendiri. Pensyarah juga seorang yang komited dengan tugasnya dan saya juga tidak berasa bosan semasa belajar. Diharapkan pelajar-pelajar lain juga berpuas hati dengan subjek ini dan saya ucapkan selamat berjaya untuk peperiksaan akhir.

Sunday, March 13, 2011

Bingkisan Rindu

Setiap kali memori itu kunjung tiba
Pastiku ingat setiap detik dan tika
Seringkali mengimbau kotak memoriku
Tak kan pernah luput ditelan dek zaman dan waktu
Kerana memori itulah yang selalu membuai sanubariku

Tatkala ia menerjah kembali
Pasti airmata membasahi pipi
Meruntun hatiku yang sepi
Ditinggalkan seseorang yang dikasihi
Yang perginya tak kan pernah kembali

Hilang sudah tempatku bermanja
Juga tempat untukku mencurahkan rasa
Walau perginya secara tiba-tiba
Namun aku redha
Kerana aku sedar
Dia hanya pinjaman dari Tuhan yang maha esa

Buat ayahanda tercinta
Anakmu ini akan sentiasa berdoa
Semoga rohmu dicucuri rahmat-Nya
Semoga rohmu tenang di alam sana
Walau tiada harta bergunung ditinggalkan buat keluarga
Itu tidak mengapa
Cukuplah nasihat-nasihatmu dan ilmu agama
Sewaktu ayahanda masih ada
Buat bekalanku yang masih hidup di alam yang fana
Menanti hari tua atau saat mati yang pasti akan tiba
Untuk bersamamu di syurga

Ciri-ciri penulisan kreatif

Penulisan kreatif ini berbentuk puisi dalam kategori sajak.  Melalui sajak ini, dapat dilihat beberapa ciri penulisan kreatif seperti  penggunaan wacana pelukisan iaitu penulis menggambarkan perasaan pengalamannya kepada pembaca dengan lebih berkesan. Contohnya seperti ayat 'kerana memori itulah yang selalu membuai sanubariku' dan 'meruntun hatiku yang sepi'. Penulis meluahkan perasaannya yang seringkali hiba dan sedih apabila memori itu terlintas di kotak fikirannya. 

Selain itu ialah penggunaan bahasa kiasan. Ia dapat membantu penulis untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada pembaca untuk menyampaikan maksud sebenar sajak tersebut. Contohnya melalui penggunaan peribahasa melalui ayat 'tak kan pernah luput ditelan dek zaman dan waktu' yang bermaksud memori itu tidak akan pernah terpadam dari memorinya. 

Penulis juga memilih diksi secara berhati-hati supaya penggunaan kata adalah sesuai dan pembaca mendapat gambaran tentang situasi yang ingin disampaikan.  Contoh ayat ialah hilang sudah tempatku bermanja, juga tempat untukku mencurahkan rasa, walau perginya secara tiba-tiba, namun aku redha kerana aku sedar, dia hanya pinjaman dari Tuhan yang maha esa. Penulis menggunakan diksi yang bersesuaian dengan maksud sajak agar penyampaian maksudnya lebih berkesan.

Penulis turut bersifat komunikatif iaitu penulis cuba menggambarkan apa yang dialami dan dirasai supaya dapat mencapai objektif akhir, iaitu supaya pembaca tertarik dengan mesej yang ingin disampaikan dan memberi respon atau tindak balas tertentu kepada penulis. Dalam sajak ini, dapat dilihat perasaan penulis yang berasa begitu kehilangan seseorang yang amat dikasihinya iaitu ayahnya. 

Yang terakhir, sajak ini bersifat imaginatif dan figuratif yang membezakan penulisan kreatif daripada penulisan ilmiah yang mementingkan fakta dan bukti. Penulis boleh menokok tambah isi supaya mesej yang disampaikan lebih berkesan dan menggunakan bahasa yang tersirat dan indah iaitu bahasa figuratif seperti metafora, personifikasi dan simile. Contoh ayat ialah 'kotak memoriku' -metafora, 'setiap kali memori itu kunjung tiba' - personifikasi dan hiperbola - 'harta bergunung'

Contoh-contoh di atas ialah ciri-ciri penulisan kreatif yang digunakan oleh penulis dalam sajaknya agar sajak tersebut lebih indah dari segi penggunaan bahasa dan mesej dapat disampaikan kepada pembaca.

Sunday, February 20, 2011

Tugasan Pertama

1. Kepentingan memahami peraturan berbahasa dalam menulis?

Bahasa merupakan salah satu alat komunikasi yang digunakan secara meluas dalam kehidupan kita seharian melalui aspek lisan ataupun penulisan. Seseorang penulis haruslah menguasai sistem bahasa atau peraturan bahasa untuk menjadi penulis yang baik sekaligus dapat menghasilkan karya yang baik serta memberi kesan yang positif kepada pembaca.

Penulis perlu memahami peraturan berbahasa agar mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca dapat disampaikan dengan jelas. Penulis perlu mengikut peraturan tertentu agar gaya penulisan tidak bersifat terlalu bebas yang boleh menyebabkan salah faham kepada pembaca maklumat yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, penulis tersilap menggunakan frasa atau kesilapan dari segi ejaan, ayat tersebut mungkin tidak dapat difahami oleh pembaca dan maksudnya tidak dapat disampaikan secara jelas. Pada masa sekarang juga ramai penulis yang menggunakan bahasa rojak atau singkatan yang selalu menimbulkan salah faham kepada pembaca.

Justeru itu, penulis perlu mempelajari peraturan-peraturan berbahasa agar maklumat dapat disampaikan dengan berkesan dan jelas kepada pembaca dan mengelakkan kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan ketika menulis.

2. Perlukah kesemua genre penulisan mematuhi peraturan berbahasa?

Seperti yang kita ketahui, dalam bidang penulisan terdapat pelbagai genre penulisan sebagai contoh puisi, sajak, cerpen dan lain-lain. Pada pendapat saya, tidak semua genre penulisan perlu mematuhi peraturan berbahasa. Perkara ini dapat dilihat melalui gaya pemikiran penulis dahulu dan penulis sekarang. Penulis pada zaman dahulu menggunakan ayat atau bahasa kiasan yang sukar difahami tetapi mesejnya dapat disampaikan dengan jelas serta menggunakan gaya bahasa yang begitu indah sekali. Berbanding penulis pada zaman sekarang, mereka lebih suka menggunakan ayat yang mudah serta senang difahami dan kadang-kala ayat tersebut tidak menjaga sensiviti pembaca yang membaca penulisan tersebut.

Oleh itu pada pandangan saya, penulis tidak perlu terikat dengan peraturan berbahasa dalam sesetengah genre sebagai contoh cerpen atau novel. Penulis sekarang menggunakan bahasa yang lebih segar dan lebih sesuai mengikut peredaran zaman. Walaupun begitu, penulis haruslah tidak melanggar batas peraturan-peraturan berbahasa yang sedia ada agar masih berada dalam landasan yang betul ketika menulis.

3. Adakah bahan penulisan kini mematuhi peraturan berbahasa?

Pada pandangan saya tidak. Ini kerana kesilapan tatabahasa dan ejaan sangat banyak dapat dilihat di tempat-tempat awam. Sebagai contoh, perkataan merealisasikan dieja merealesasikan seperti gambar di bawah.


Poster ini banyak ditampal di kolej-kolej pelajar sebagai kempen untuk menarik undi para pelajar. Hal ini tidak sepatutnya terjadi kerana ia boleh menjatuhkan kredibiliti calon yang bertanding sebagai pemimpin pelajar. Penulis terlebih dahulu harus peka dengan kesilapan ejaan yang berlaku sebelum poster ini digantung.

Kadangkala perkataan Bahasa Melayu dicampur dengan perkataan Bahasa Inggeris. Ini menunjukkan penulis tidak peka dengan peraturan berbahasa. Ditambah dengan penggunaan bahasa rojak dan singkatan atau short form, bahan penulisan kini tidak mempunyai kualiti dan nilai yang tinggi berbanding zaman dahulu. Untuk mengatasi masalah ini, pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka haruslah menjalankan pemantauan untuk membendung masalah penulisan yang tidak mengikut peraturan berbahasa. Malah, masyarakat Melayu juga harus menjaga kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara agar bangsa lain tidak memandang rendah pada bahasa kita bak kata pepatah Bahasa Jiwa Bangsa.

Oleh itu, salah satu cara yang boleh dilakukan oleh bangsa melayu untuk menunjukkan semangat patriotik atau kecintaan terhadap negara adalah mendaulatkan bahasa Melayu.