Sunday, March 13, 2011

Bingkisan Rindu

Setiap kali memori itu kunjung tiba
Pastiku ingat setiap detik dan tika
Seringkali mengimbau kotak memoriku
Tak kan pernah luput ditelan dek zaman dan waktu
Kerana memori itulah yang selalu membuai sanubariku

Tatkala ia menerjah kembali
Pasti airmata membasahi pipi
Meruntun hatiku yang sepi
Ditinggalkan seseorang yang dikasihi
Yang perginya tak kan pernah kembali

Hilang sudah tempatku bermanja
Juga tempat untukku mencurahkan rasa
Walau perginya secara tiba-tiba
Namun aku redha
Kerana aku sedar
Dia hanya pinjaman dari Tuhan yang maha esa

Buat ayahanda tercinta
Anakmu ini akan sentiasa berdoa
Semoga rohmu dicucuri rahmat-Nya
Semoga rohmu tenang di alam sana
Walau tiada harta bergunung ditinggalkan buat keluarga
Itu tidak mengapa
Cukuplah nasihat-nasihatmu dan ilmu agama
Sewaktu ayahanda masih ada
Buat bekalanku yang masih hidup di alam yang fana
Menanti hari tua atau saat mati yang pasti akan tiba
Untuk bersamamu di syurga

Ciri-ciri penulisan kreatif

Penulisan kreatif ini berbentuk puisi dalam kategori sajak.  Melalui sajak ini, dapat dilihat beberapa ciri penulisan kreatif seperti  penggunaan wacana pelukisan iaitu penulis menggambarkan perasaan pengalamannya kepada pembaca dengan lebih berkesan. Contohnya seperti ayat 'kerana memori itulah yang selalu membuai sanubariku' dan 'meruntun hatiku yang sepi'. Penulis meluahkan perasaannya yang seringkali hiba dan sedih apabila memori itu terlintas di kotak fikirannya. 

Selain itu ialah penggunaan bahasa kiasan. Ia dapat membantu penulis untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada pembaca untuk menyampaikan maksud sebenar sajak tersebut. Contohnya melalui penggunaan peribahasa melalui ayat 'tak kan pernah luput ditelan dek zaman dan waktu' yang bermaksud memori itu tidak akan pernah terpadam dari memorinya. 

Penulis juga memilih diksi secara berhati-hati supaya penggunaan kata adalah sesuai dan pembaca mendapat gambaran tentang situasi yang ingin disampaikan.  Contoh ayat ialah hilang sudah tempatku bermanja, juga tempat untukku mencurahkan rasa, walau perginya secara tiba-tiba, namun aku redha kerana aku sedar, dia hanya pinjaman dari Tuhan yang maha esa. Penulis menggunakan diksi yang bersesuaian dengan maksud sajak agar penyampaian maksudnya lebih berkesan.

Penulis turut bersifat komunikatif iaitu penulis cuba menggambarkan apa yang dialami dan dirasai supaya dapat mencapai objektif akhir, iaitu supaya pembaca tertarik dengan mesej yang ingin disampaikan dan memberi respon atau tindak balas tertentu kepada penulis. Dalam sajak ini, dapat dilihat perasaan penulis yang berasa begitu kehilangan seseorang yang amat dikasihinya iaitu ayahnya. 

Yang terakhir, sajak ini bersifat imaginatif dan figuratif yang membezakan penulisan kreatif daripada penulisan ilmiah yang mementingkan fakta dan bukti. Penulis boleh menokok tambah isi supaya mesej yang disampaikan lebih berkesan dan menggunakan bahasa yang tersirat dan indah iaitu bahasa figuratif seperti metafora, personifikasi dan simile. Contoh ayat ialah 'kotak memoriku' -metafora, 'setiap kali memori itu kunjung tiba' - personifikasi dan hiperbola - 'harta bergunung'

Contoh-contoh di atas ialah ciri-ciri penulisan kreatif yang digunakan oleh penulis dalam sajaknya agar sajak tersebut lebih indah dari segi penggunaan bahasa dan mesej dapat disampaikan kepada pembaca.

No comments:

Post a Comment