Sunday, February 20, 2011

Tugasan Pertama

1. Kepentingan memahami peraturan berbahasa dalam menulis?

Bahasa merupakan salah satu alat komunikasi yang digunakan secara meluas dalam kehidupan kita seharian melalui aspek lisan ataupun penulisan. Seseorang penulis haruslah menguasai sistem bahasa atau peraturan bahasa untuk menjadi penulis yang baik sekaligus dapat menghasilkan karya yang baik serta memberi kesan yang positif kepada pembaca.

Penulis perlu memahami peraturan berbahasa agar mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca dapat disampaikan dengan jelas. Penulis perlu mengikut peraturan tertentu agar gaya penulisan tidak bersifat terlalu bebas yang boleh menyebabkan salah faham kepada pembaca maklumat yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, penulis tersilap menggunakan frasa atau kesilapan dari segi ejaan, ayat tersebut mungkin tidak dapat difahami oleh pembaca dan maksudnya tidak dapat disampaikan secara jelas. Pada masa sekarang juga ramai penulis yang menggunakan bahasa rojak atau singkatan yang selalu menimbulkan salah faham kepada pembaca.

Justeru itu, penulis perlu mempelajari peraturan-peraturan berbahasa agar maklumat dapat disampaikan dengan berkesan dan jelas kepada pembaca dan mengelakkan kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan ketika menulis.

2. Perlukah kesemua genre penulisan mematuhi peraturan berbahasa?

Seperti yang kita ketahui, dalam bidang penulisan terdapat pelbagai genre penulisan sebagai contoh puisi, sajak, cerpen dan lain-lain. Pada pendapat saya, tidak semua genre penulisan perlu mematuhi peraturan berbahasa. Perkara ini dapat dilihat melalui gaya pemikiran penulis dahulu dan penulis sekarang. Penulis pada zaman dahulu menggunakan ayat atau bahasa kiasan yang sukar difahami tetapi mesejnya dapat disampaikan dengan jelas serta menggunakan gaya bahasa yang begitu indah sekali. Berbanding penulis pada zaman sekarang, mereka lebih suka menggunakan ayat yang mudah serta senang difahami dan kadang-kala ayat tersebut tidak menjaga sensiviti pembaca yang membaca penulisan tersebut.

Oleh itu pada pandangan saya, penulis tidak perlu terikat dengan peraturan berbahasa dalam sesetengah genre sebagai contoh cerpen atau novel. Penulis sekarang menggunakan bahasa yang lebih segar dan lebih sesuai mengikut peredaran zaman. Walaupun begitu, penulis haruslah tidak melanggar batas peraturan-peraturan berbahasa yang sedia ada agar masih berada dalam landasan yang betul ketika menulis.

3. Adakah bahan penulisan kini mematuhi peraturan berbahasa?

Pada pandangan saya tidak. Ini kerana kesilapan tatabahasa dan ejaan sangat banyak dapat dilihat di tempat-tempat awam. Sebagai contoh, perkataan merealisasikan dieja merealesasikan seperti gambar di bawah.


Poster ini banyak ditampal di kolej-kolej pelajar sebagai kempen untuk menarik undi para pelajar. Hal ini tidak sepatutnya terjadi kerana ia boleh menjatuhkan kredibiliti calon yang bertanding sebagai pemimpin pelajar. Penulis terlebih dahulu harus peka dengan kesilapan ejaan yang berlaku sebelum poster ini digantung.

Kadangkala perkataan Bahasa Melayu dicampur dengan perkataan Bahasa Inggeris. Ini menunjukkan penulis tidak peka dengan peraturan berbahasa. Ditambah dengan penggunaan bahasa rojak dan singkatan atau short form, bahan penulisan kini tidak mempunyai kualiti dan nilai yang tinggi berbanding zaman dahulu. Untuk mengatasi masalah ini, pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka haruslah menjalankan pemantauan untuk membendung masalah penulisan yang tidak mengikut peraturan berbahasa. Malah, masyarakat Melayu juga harus menjaga kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara agar bangsa lain tidak memandang rendah pada bahasa kita bak kata pepatah Bahasa Jiwa Bangsa.

Oleh itu, salah satu cara yang boleh dilakukan oleh bangsa melayu untuk menunjukkan semangat patriotik atau kecintaan terhadap negara adalah mendaulatkan bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment